Setelah sekian lamanya aku mengumpul kekuatan untuk menerima dan memahami erti dugaan ini. Lamanya masa ku ambil untuk berada diruang ini. Selalu aku mencuba untuk meluahkan, tapi langsung tak kesampaian. Jiwa masih meronta Hati masih menangis. Rasa terkilan terlalu memberontak, Rasa sepi terlalu menghantui kini.
Segalanya bagai baru saja terjadi. Masih tergiang di fikiran panggilan kecemasan itu memanggil, di saat aku kurang terjaga. Rasa kurang enak mula muncul di benak aku. Aku bergegas pulang. Ini kecemasan aku harus cepat. Dalam fikiran ketika itu.
"Ya Allah.. Semoga yang terbaik sentiasa bersama dia. Lindungilah dia ya Tuhanku...,". Hati berkocak,
"InsyaAllah tiada apa-apa..."
Pesanan ku tinggalkan kepada mereka, aku tak mahu menganggu cukup sekadar mereka tahu aku berangkat ke sana kerana kecemasan ini. Harapan kini menjadi matlamat aku. Aku positif,
"InsyaAllah.. tiada apa-apa, hanya sakit biasa..." Telefon sentiasa ku eratkan ditangan. Langsung tak akan ku lepaskan. Aku hanya mampu menunggu ianya berdering. Tak mampu untuk ku bertanya khabar. Hati ini terlalu risau. Aku gelisah. Hari mula hujan. Perjalanan yang biasa dari Ipohg ke KL ini bagiku terlalu lama rasanya.
"Ya Allah, aku mohon kekuatan dari-Mu... Sejahterakan dia wahai Tuhanku..."
Lebih kurang Jam 4.15 petang. Telefon ku berdering. Aku semakin gelisah.
"Ya Allah... benarkah intuisiku ini...? Sangkalkan harapan itu Tuhan..." Sedaya upaya ku kumpulkan kekuatan untuk menjawab panggilan itu.
Mak Cik ku di talian.
"Angah banyakkan bersabar, dengar ni Kak Gee nak cakap..." Separuh hati ku kini hanya pada dia, terbayang sayu dia ada dekat dengan aku.
"Dia dah tak de, Angah...., dia da pergi....".
Mengigil seluruh tubuhku, luluh jiwa ku....
"Astaghfirullahalazim! Ya Allah, kau uji aku lagi... Al-Fatihah...."...
aku cuba bertenang.. tapi air mata ini jatuh juga.. Kenapa.. perlu sekarang...??? Kenapa...?
"Innalillahirajium.... Ya Allah beri aku kesempatan dan kekuatan untuk aku berjumpa dia untuk terakhir kali..." Menggigil aku melangkah mencari haluan ke Hospital itu. Aku gagahkan juga, aku masih kuat untuk berjalan.
Segenap tubuh ku ini luluh lagi... aku terduduk.. saat terlihat sekujur tubuh terbaring didalam bilik kecil itu... Dia ada di situ.
"Ya Allah.. Kuatkan hati ku..." Ibuku tiada disitu menyebabkan aku semakin kaku terduduk. Kak Long dan Adik-adik datang memeluk aku. Aku tak sanggup. Aku meraung semahunya....
"Kenapa Harus begini....?"
Aku bersyukur pada-Mu, aku dapat menunaikan tanggungjawab tak seberapa sebagai seorang anak lelaki. Aku masih di berikan kesempatan untuk memandikan dia, mengafan dia, menyembahyangkan dia, membaca Surah suci Yassin untuk dia, mengiringinya ke tanah perkuburan dan ke dalam "tempat dia bersemadi selamanya".... Aku bersyukur, walau aku tiada bersama dia di saat awal ajalnya tiba..., tapi Aku masih diberikan kesempatan untuk menemani dia di saat terakhir dia bersemadi.
"Ya Allah Ya Tuhanku, engkau cucurikanlah rahmat-Mu ke atas rohnya, dan Engkau tempatkanlah dia di dalam kalangan orang yang beriman... Al-Fatihah..."
Pasca pemergian dia...
Keadaan bertambah sayu... aku memeluk ibuku sekuat hati.. disaat adek perempuan ku terbaring pengsan di satu sudut lain.
"Angah, minta maaf ma.. Angah tak balik...".... Ibuku tak berhenti berlinang air mata, kak long dan adek lelaki ku sangat tenang, adek perempuan ku maseh terkejut setelah beberapa kali rebah... dan 2 orang adek lelaki bongsu ku seperti biasa, mereka belum mampu mengerti apatah lagi merasai situasi seperti ini, terlalu awal untuk mereka. Sememangnya mereka terlalu mentah untuk memahami liku sebegini.
Perjalanan ke Kelantan ketika itu, sungguh lancar tanpa sebarang halangan. cuma hujan renyai dan keadaan jalan yang kurang elok. Handphone ku terus-terusan berdering, aku terpaksa endahkan sahaja. Maaf. aku tak amapu lagi untuk membalas ucapan kalian. Seharusnya mereka faham situasi aku ketika itu. Tak mengapa sekurang-kurangnya, aku tahu yang masih ada lagi insan yang mengambil berat tentang aku. Terima Kasih. Aku tidak off kan handphone, sekadar berada dalam silent mode. Dalam perjalanan, terimbau kenangan-kenangan yang sempat aku ukirkan saat-saat terakhir hayat dia bersamaku, Ya, Aidilfitri lepas... momen terakhir aku bersama dia. Baru ku mengerti, dia memang beg itu teruja dan gembira menyambut Aidilfitri kali ini. Dia begitu segak berbaju melayu. Tak seperti selalunya. Beriya-iya dia mengajak kami sekeluarga untuk bergambar. Walaupun pada mulanya kakak dan adek-adek ku ingkar, tetapi dia tetap bersungguh hendak memotretkan momen indah itu. Ya,momen yang terakhir untuk kami. Kali terakhir aku menyentuh dan bersalam tangan dengannya... di pagi hari raya. Sebelum aku pulang ke Ipoh.
"Ya Allah.. sehingga sekarang mengapa paparan visual ingatanku kurang jelas, aku tak terlalu mengigati momen itu....kenapa..?"
Tiba di kampung, keadaan makin hiba, saudara mara dekat dan jauh datang ke situ. Aku cuba berlagak tenang. Tapi saat aku mencium tangan nenek, melihat ibuku menangis. Hati aku sayu lagi. Mereka sibuk bertanya apa sebab pemergian dia. Ibuku hanya mampu mengelengkan kepala mengulangi kata-kata yang diberitahu doktor pakar ..."serangan jantung"... itu yang aku tahu. Sudah cukup. aku tak berdaya lagi menjawab kepada mereka, kenapa dan mengapa dia pergi. Cukup sekadar aku menjawab,
"Sudah sampai waktu dia pergi...ini waktu dia..."
Beberapa Drama terjadi dikampung di saat jenazah masih diatas rumah nenek. Drama keluarga yang sememangnya membuatkan aku berasa sakit hati dan panas. Tapi aku masih waras. Cukup berhenti disitu. Aku tak mahu kejadian itu berulang.
"Ya Alah kau berikan lagi dugaan.. aku pasrah...". Semoga mereka-mereka ini semua sedar diats kelakuan dan perlakuan jengkel mereka. beri mereka peluang ya Allah.
Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang besar dan tenang. Walaupun dia pergi secara tiba-tiba tetapi keadaan sungguh terkawal dan tenang. perjalanan yang DIA atur cukup kemas. Terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama. Tiada apa yang mampu membalas jasa mereka, hanyalah
iringan doa kesejahteraan seikhlasnya dariku.
Kini sudah hampir 3 minggu pemergian dia. Aku masih bertahan. Selalu untuk mencuba bertahan, mencuba tersenyum. Walau hanya terukir dibibir. Cukuplah sekadar aku sendiri merasa. Tak perlu mereka di sekeliling ku sayu di sebabkan aku. Aku tahu mereka punyai kisah mereka tersendiri. tak perlu mereka terbeban oleh kisah tak seberapa ku ini. Walaupun sepi itu sering terjadi. Tak mengapa. Aku redha, ini laluan takdir hidup aku.dan aku selalu percaya kepada ketentuan dari Dia. Semuanya telah tersedia untuk kita.
InsyaAllah.. aku cuba untuk terus bertahan, walau hati ini masih tak terima. Ya, tak sepenuhnya aku merelakan kehilangan ini. Sungguh, aku tak berdaya. Tapi, ini Kuasa Dia, aku tak mampu melawan. Aku akan terus-terusan mencuba menerima. Biar masa sahaja yang tentukan.
Tiada apa yang dapat mengembirakan aku sekarang melainkan aku dapat mendengar suara insan tersayang yang aku miliki,
Ibu, kak long, adek Hafiz, adek Ina, si tembam Asyraf dan paling ku rindui saat ini adek ISKANDAR. mereka lah yang membuatkan aku terus bertahan sehingga ke hari ini. Dan tak lupa kawan, teman, sahabat sekeliling ku....
merekalah sumber kekuatan dan inspirasi selain dari-Mu ya Allah. Aku sayang mereka. Sejahterakan hidup mereka.
Walau tak pernah terfikirkan kau akan pergi tinggalkan aku,walau kehilangan ini terlalu dalam perit rasanya. aku akan tetap bertahan dalam kisah ini.
waktu & tarikh keramat
4.09 petang -
24 Oktober 2009 / 5 Zulkaedah 1430H akan terus bersemadi kekal dalam ingatanku ini.
Aku mahu kau tahu, AKU BERBANGGA PUNYA INSAN SEHEBAT KAMU....
semoga KAU tenang di sana...
AMIN.